Thursday, November 27, 2008

Lelaki malas guna minda

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


SENARIO penuntut wanita yang terus menguasai populasi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikaitkan dengan kecenderungan golongan itu yang dikenal pasti lebih tekun, konsisten berbanding penuntut lelaki yang lebih bertumpu kepada kemahiran tangan dan pergerakan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun, berkata fenomena berkenaan berlaku apabila perbandingan senario sekarang dan beberapa tahun lalu dilakukan.

Sebenarnya, beliau berkata, penuntut lelaki bukan tidak pandai, tetapi malas menggunakan pemikiran mereka lebih sedikit.

“Penuntut wanita ini memang pandai sejak dulu kemungkinan akibat kekangan keluarga suatu ketika dulu yang menghalang mereka daripada membangunkan diri termasuk tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran.




“Bagaimanapun, hari ini penuntut wanita sudah diizinkan keluarga melanjutkan pelajaran setinggi mungkin dan sudah membuktikan mereka lebih hebat daripada lelaki dan mungkin satu hari nanti akan menggoncang dunia,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Firdaus Jaafar (Pas-Jerai) di Dewan Rakyat, semalam


Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Idris berkata, perangkaan menunjukkan penuntut lelaki di peringkat doktor falsafah (PhD) adalah melebihi penuntut wanita membabitkan masing-masing 61 peratus penuntut lelaki dan 38 peratus wanita.

Beliau berkata, kementerian tidak mengamalkan diskriminasi gender bukan saja kepada penjawat tinggi, malah kepada penuntut sehingga tidak ada cadangan bagi mewujudkan kuota penuntut lelaki dan wanita.

“Perangkaan terkini sungguh menarik apabila ada 60.39 peratus penuntut wanita di IPTA berbanding hanya 39.61 penuntut lelaki,” katanya.

Idris berkata, kementerian juga sudah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan kesedaran kepada penuntut lelaki mengenai pentingnya pencapaian akademik bagi menghadapi masa depan.

Menurutnya, syarat kelayakan masuk ke IPTA yang memerlukan calon memiliki 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus kokurikulum secara tidak langsung dapat mengimbang fenomena penuntut wanita melebihi penuntut lelaki di IPTA di negara ini.